Friday, August 20, 2010

NO PAIN NO GAIN





Dalam apa yang kita usahakan kecekalan, ketabahan, kesabaran dan kekuatan dalam diri memainkan peranan yang cukup penting. Kejayaan bukan datang bergolek dengan begitu mudah seperti yang kita impikan. Angan-angan seringkali mengatasi usaha kita. Akibatnya tidak sampai sebulan impian kita dimusnahkan oleh angan-angan yang terlalu pantas meninggalkan usaha yang sepatutnya kita lakukan.

NO PAIN NO GAIN…..ungkapan yang acap kali kita dengar. Apa jua yang ingin kita capai perlukan pengorbanan dan komitmen yang cukup tinggi. Kita perlu ada matlamat atau target dalam setiap cita-cita atau hasrat. Selama hampir dua tahun berulang alik ke gym tiga kali seminggu, banyak mengajar saya erti kesabaran. Bermula dari Januari 2009,saya mengenali dunia gym apabila berat badan mencecah 95kg dan tahap kolestrol melebihi paras bahaya. Begitu juga dengan asid uric. Niat menjadi ahli di gym terdekat pada mula adalah untuk menurunkan berat badan dan objektif utamanya sudah tentu untuk sihat. Namun masuk tahun kedua, objektif berubah. Minat dan rasa seronok mengatasi segala-galanya. Apatah lagi berat turun ke 86kg. Lebih menggembirakan lagi kadar kolestrol dan asid uric turun di bawah paras bahaya.

Sepanjang hampir dua tahun bersenam di gym, banyak pengalaman yang saya lalui. Kenalan yang terdiri daripada pelbagai golongan baik tua atau muda semakin bertambah. Ramai di kalangan kita cukup berminat dan bersemangat untuk bersenam. Namun demikian tidak ramai yang tahu apa tujuan sebenar mereka berkunjung ke gym. Itulah kesilapan besar yang anda lakukan. Natijahnya…..usaha dan semangat yang berkobar-kobar hanya bertahan tidak sampai sebulan. Pak cik- pak cik, mak cik-mak cik, abang-abang dan kakak-kakak yang mahu menjadi The biggest Loser yang pertama hanya sekadar hangat-hangat tahi ayam. Begitu juga adik-adik yang mengimpikan bentuk badan seperti Arnold Susah-Nak-Eja atau Miss Universe sekadar bertahan tidak sampai setahun.

Tanyalah diri anda sendiri? Jika anda fikir tujuan anda berkunjung ke gym adalah untuk bersenam dan sihat mungkin anda boleh bertahan lama. Andaikata anda ingin menurunkan berat badan dari 150kg ke 80kg, tanpa usaha yang gigih,cekal, sabar….jangan impikan semua itu. Dan bagi mereka yang mahukan badan seperti Sazali Samad, Wong Hong, Jay Cutler, Mark Alvisi…tanpa usaha yang gigih, pengetahuan yang tinggi, disiplin diri yang jitu…..lupakan sahaja. Anda hanya membuang masa, tenaga dan wang ringgit.

NO PAIN NO GAIN…hayatilah pengertian ungkapan ini secara menyeluruh. Akhir kata daripada saya SELAMAT BERJAYA dan ceria selalu sepanjang Ramadan bulan yang penuh bermakna.

No comments:

Post a Comment